Jangan terpengaruh ajaran agama Melayu

0
3
KUANTAN 17 APRIL 2018. Tembual Calon PAS Parlimen Indera Mahkota, Nasrudin Hassan Tantawi. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL

ORANG ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dibawa oleh individu dikenali sebagai Ibu Yati.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata ajaran tersebut yang menggunakan lafaz syahadah di luar dari kebiasaan, adalah sesat.

“Makin mencabar tugas dakwah kita semua pada zaman mutakhir ini.

“Sehari dua ini kecoh pula dengan lahirnya agama baru yang dikenali sebagai Agama Melayu. Menggunakan lafaz syahadah yang pelik (seperti yang saya dengar lafaznya iLa Ha iLa Ra iLa Ma) dan disambung dengan pengakuan aku Melayu sebanyak tujuh kali.

“Menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam arab. Kononnya mereka membawa Islam Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, dari sudut penguatkuasaan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan yang sewajarnya.

“Bagi agensi dakwah seperti Yadim pula sentiasa siap untuk memberi kefahaman dan pemurnian aqidah serta fikrah,” katanya.

Semalam, Malaysiapost melaporkan seorang bekas wartawan dari sebuah syarikat akhbar arus perdana negara dipercayai mempromosi ajaran sesat dikenali sebagai “ajaran Melayu”.

Ia dikesan melalui beberapa video dan tulisan yang dimuat naik di Facebooknya.

Individu tersebut juga mendakwa Islam yang berasaskan al-Quran tiada lagi, sebaliknya yang ada ketika ini adalah Islam arab.

Ajaran Melayu yang dibawa itu terbongkar selepas video mengenainya tular di media sosial.

Berdasarkan video berdurasi lapan minit itu, ia memaparkan beberapa hantaran Facebook dan video yang dikatakan ajaran sesat dipercayai milik wartawan berkenaan.

Terdapat juga ritual memukul gong sambil mengungkap perkataan ‘aku melayu’ yang dikatakan sebagai lafaz untuk masuk ke ajaran berkenaan.- Malaysiapost

Artikel berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here