Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman mempersoalkan ke mana hilangnya peranan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa ketika negara kini gempar dengan kisah lambakan kedai judi haram dan peniaga kecil tanpa lesen di kawasan terbabit.
Syed Badli berkata pendedahan oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara.
Katanya, tindakan drastik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi membersihkan kawasan berkenaan dari lambakan kedai tanpa lesen sedikit sebanyak menggusarkan peniaga dan penjaja kecil.
“Kesan dari tindakan ini menyaksikan terdapat segelintir peniaga dan penjaja kecil yang mencari rezeki di kawasan tersebut kini terjejas mata pencarian.
“Adakah selama ini Ahli Parlimen Sungai Buloh tidak menyedari terdapat ramai peniaga kecil yang perlu dibantu khususnya untuk mempermudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan?
“Adakah langsung tidak tahu kawasan beliau terdapat banyak kedai-kedai judi haram seperti yang didedahkan?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, Syed Badli mencadangkan supaya Sivarasa untuk memanggil sebilangan peniaga kecil yang terjejas termasuk Asri Janggut bagi mengenal pasti masalah mereka dan membantu dari sudut sesuai.
“Saya juga berharap agar beliau mula turun ke kawasan berkenaan bagi menyantuni masalah rakyat,” katanya.

