Respon jawapan bertulis atau dianggap fitnah

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki perlu memberi respon kepada jawapan bertulis di Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam Tabung Haji (TH).

Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata jawapan bertulis Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin itu sudah jelas menjawab persoalan yang dibangkitkan UMNO sewaktu menjadi pembangkang.

“Ketua Pemuda UMNO kena respon dulu jawapan yang diberikan terhadap soalan yang dikemukan Parit Buntar (Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa). Jawapan yang diberikan sudah cukup jelas.

“Jawab dulu jawapan balas yang diberikan di Dewan Rakyat. Kalau gagal beri respon… saya berpandangan serangan UMNO waktu pembangkang dulu menjerumus kepada fitnah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai tindakan Dr Asyraf Wajdi menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan penyelewangan membabitkan TH.

Selasa lalu, Perdana Menteri menyatakan TH kini mencatat lebihan aset sebanyak RM1.9 bilion.

“Kedudukan terkini aset TH pada 30 Jun 2020 seperti diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78 bilion dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion.

“Selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH, aset-aset yang kurang berdaya saing sudah dipindahkan kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Oleh itu, TH tidak dikawal oleh orang bukan Islam,” kata Perdana Menteri.

Penegasan itu dibuat dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Mujahid yang meminta Perdana Menteri menyatakan kedudukan jumlah aset terkini TH dan adakah benar kerajaan PH terdahulu menjual banyak aset TH dan membiarkan agensi dikuasai oleh orang bukan Islam.

Shazni Munir turut menegaskan jika Ketua Pemuda UMNO gagal memberi respon terhadap jawapan bertulis berkenaan, tindakan menggesa RCI hanyalah sekadar untuk meraih perhatian.

“Saya tak tahu kenapa dia nak RCI. Sepatutnya dia bagi respon dulu (jawapan bertulis Perdana Menteri). Kena tanya dia kenapa? (nak RCI),” katanya.