Kementerian Pengangkutan siasat dakwaan GTSM tak terima bantuan

0
2

KEMENTERIAN Pengangkutan akan menyiasat dakwaan yang dibuat Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) berhubung masih belum menerima bantuan dari kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook kelmarin berkata, laporan yang dibuat akan diatasi kementeriannya dengan memanggil pihak yang berkaitan bagi merungkai segala kekusutan dan permasalahan yang berbangkit.

Katanya, beliau bertekad akan berusaha sedaya upaya bagi membantu industri teksi di Malaysia khususnya melibatkan kebajikan pemandu-pemandu teksi.

“Saya mengambil maklum saranan GTSM berhubung isu berkaitan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

“Saya akan meminta kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ini untuk berjumpa dengan pihak GTSM bagi merungkai segala kekusutan atau permasalahan berbangkit.

“Saya dimaklumkan bahawa APAD telah mengeluarkan kenyataan media bagi menjawab perkara yang dibangkitkan GTSM serta melaporkan kepada orang awam setakat mana pelaksanaan pemberian bantuan kepada pemandu-pemandu teksi yang telah diamanahkan ke atas APAD,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga mengarahkan LPKP Sabah dan Sarawak menyiasat status penerimaan bantuan kepada pemandu teksi yang dikatakan masih tercicir.

“Sepertimana kenyataan APAD, bermula 2 April 2020, sebanyak RM17.7 juta telah disalurkan kepada 29,447 pemandu teksi yang memiliki Kad Pemandu sah. Manakala bermula 14 Julai 2020, sebanyak RM2.9 juta telah disalurkan kepada 4,871 pemandu teksi yang memiliki Kad Pemandu sah.

“Fasa 2 penyaluran peruntukan ini telah memberikan kelonggaran bagi menggalakkan pemandu memperbaharui Kad Pemandu masing-masing sebelum cut-off date 1 Julai 2020 yang kemudiannya dilanjutkan sehingga 27 Julai 2020,” katanya.

Katanya, kad Pemandu ini amat penting bagi memastikan semua pemandu mempunyai kelulusan rasmi untuk membawa penumpang awam, dan ia juga merupakan satu aspek keselamatan bagi penumpang.

“Dalam masa sama, APAD juga berharap persatuan dapat memainkan peranan dengan mengingatkan ahli-ahli persatuan supaya terus mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti sentiasa memastikan Kad Pemandu dalam tempoh sah laku semasa beroperasi.

“Apa yang penting, kita mahu kebajikan setiap pemain dalam industri pengangkutan awam dan kelangsungan industri pengangkutan ini sentiasa terbela dan mendapat perhatian kementerian demi kepentingan rakyat serta negara secara keseluruhannya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here