‘Program TV Pendidikan tidak menyeluruh, masa tak optimum’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Program TV Pendidikan yang diumumkan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak menyeluruh.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, penggunaan masa yang ditetapkan menerusi slot TV Pendidikan juga tidak optimum.

“Ia bermula dari pukul 3 sehingga 5 petang pada hari Isnin sehingga Jumaat.

“Serta pukul 9 pagi sehingga 12 tengahari dan pukul 3 petang sehingga 5 petang pada hari Sabtu dan Ahad,” katanya di Facebook, hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkara itu dilihat tidak pratikal memandangkan TV Pendidikan ini bersifat suka rela dengan siapa berminat boleh mengikuti pembelajaran berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan
supaya salah satu stesen TV milik kerajaan digunakan secara maksimum supaya dapat bersifat seperti kelas.

“Ada jadual kelas perlu diikuti pelajar di kaca TV. Ia sebagai tambahan kepada pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

“Ibu bapa akan memastikan anak-anak mereka mengikuti jadual kelas yang telah ditetapkan di Televisyen.

“Jika slot tidak cukup untuk cover kebanyakan matapelajaran, pengendali TV bukan milik kerajaan diminta menyumbang salah satu saluran mereka untuk digunakan sepenuhnya bagi tujuan sama,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau berterima kasih kepada KPM kerana membuat pendekatan berkenaan demi membantu pelajar sekolah.

Sebelum ini, KPM memaklumkan slot Program TV Pendidikan akan disiarkan dalam  program DidikTV@NTV7 mulai semalam, khusus untuk calon peperiksaan SPM tahun 2020.

KPM berkata, ia salah satu usaha berterusan untuk menambah baik pendekatan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Slot itu akan memberi fokus kepada kandungan pendidikan bagi membantu calon SPM tahun 2020 membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari 2021. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here