Kartel daging: ‘Menteri tak faham apa saya maksudkan’ – Tajuddin

0
2

BEKAS Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyangkal penjelasan yang dikeluarkan menteri berhubung kenyataan bahawa 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang permit import (AP) daging terdiri daripada syarikat Bumiputera.

Menurut Tajuddin, kenyataan beliau merujuk kepada mengapa penguasaan import daging dalam kalangan Bumiputera hanya 10 peratus.

Katanya, beliau tidak mempersoalkan mengenai 60 peratus AP daging yang dikuasai Bumiputera seperti yang dimaklumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Saya kecewa menteri tak faham dengan apa yang saya maksudkan. Dia sepatutnya baca dulu apa saya cakap.

“Saya persoalkan kenapa Bumiputera hanya menguasai 10 peratus nilai import daging? Ini semua kerana kewujudan kartel daging.

“AP itu memanglah banyak dikuasai syarikat Bumiputera. Mungkin beratus, mahupun beribu AP ,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Terdahulu, Ronald dilaporkan mendakwa sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang AP daging terdiri daripada syarikat dimiliki oleh golongan bumiputera.

Menurut Ronald, antara pemegang AP daging syarikat bumiputera ialah Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Darabif Meat Company yang berkeupayaan mengimport daging dalam jumlah besar.

Katanya, daripada segi jumlah daging yang diimport, ia bergantung kepada keupayaan syarikat berkenaan.

Jelas Ronald, dua syarikat itu berupaya mengimport daging dalam kuantiti yang besar dan mampu bersaing dengan syarikat bukan bumiputera.

Difahamkan, Ronald berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Tajuddin yang dilaporkan media baru-baru ini mendakwa hanya 10 peratus pemegang AP daging terdiri daripada syarikat bumiputera.

Pada masa sama,Tajuddin turut membidas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang turut memberi jawapan sama ketika membangkitkan isu berkenaan semasa memegang jawatan timbalan menteri.

“Itulah Jabatan Veterinar sebelum ini kalau kita tanya dia jawab sedemikian rupa.

“Kita persoal kenapa nilai import daging Bumiputera sekitar 10 peratus, kerana penguasaan geng-geng kartel ini,” kata Tajuddin. -Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here