KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan menambah slot program TV Pendidikan dalam DidikTV di saluran NTV7 khusus bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai esok.
Dalam satu kenyataan, KPM menjelaskan slot berkenaan akan memberi fokus kepada kandungan pendidikan bagi membantu calon SPM 2020 membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari depan.
“Slot tambahan itu membabitkan dua jam pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 3 petang hingga 5 petang di saluran NTV7.
“KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad, bermula jam 9 pagi hingga 12 00 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang.
“Penambahan slot ini menjadikan keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7,” katanya.
KPM yakin Program TV Pendidikan yang disediakan dapat dimanfaatkan murid, guru dan ibu bapa sebagai salah satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berkesan.
“KPM sentiasa berusaha untuk menambah baik pendekatan kaedah PdPR, termasuk program TV Pendidikan,” katanya.
Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM, iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan. -Malaysiapost

