
KEPUTUSAN sama ada kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara keseluruhan seperti PKP 1.0 pada Mac tahun lalu akan diumumkan sebelum 4 Februari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sejak beberapa hari lalu tular mengenai kononnya PKP secara menyeluruh akan dilaksanakan diseluruh negara.
“Tular mengatakan kerajaan akan melaksanakan ‘total lockdown’ seperti PKP 1.0 selepas berakhirnya PKP 2.0 pada 4 Februari ini dan ia telah menimbulkan kebimbangan orang ramai hingga bertindak membuat pembelian panik.
“Bagaimanapun, ia akan diumumkan selepas keputusan dibuat oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara mengenainya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga ada membayangkan bahawa pada 4 Februari nanti berkemungkinan PKP Bersyaratakan dilaksanakan semula.
“Pelbagai reaksi timbul apabila diumumkan kemungkinan PKPB dilaksanakan semula di seluruh negara ada yang tidak bersetuju kerana mahu penutupan sepenuhnya seperti PKP 1.0 dilaksanakan bagi mempercepatkan penurunan kes Covid-19.
“Ramai juga tidak bersetuju dan mahu dilonggarkan terutama mereka yang berniaga termasuk yang bergantung pendapatan mereka dengan berniaga harian
“Kerajaan akan melihat secara keseluruhan, kita mahu menjaga kesihatan rakyat kita tetapi dalam masa sama kita juga mahu melindungi kepentingan rakyat kita terutama golongan miskin, peniaga kecil kerana jika tutup tentu akan menjelaskan mereka,” katanya.
Ismail Sabri berkata, jika penutupan sepenuhnya dilaksanakan kesan daripada tindakan itu adalah sebanyak 2.8 juta rakyat berisiko kehilangan pekerjaan.
“Manakala, 2.5 juta pekerja juga akan terjejas pendapatan dan sukar meneruskan kelangsungan hidup
“Kumpulan B40 akan kehilangan pendapatan dimana dalam tempoh sebulan dianggarkan RM6.45 bilion dengan purata RM2,400 satu keluarga,” katanya.
Beliau berkata, menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak pelaksanaan PKP 1.0 pada Mac 2020 hingga Oktober 2020 sebanyak 13,445 syarikat telah tutup operasi dan ia bermakna ramai yang telah hilang pekerjaan.
“Sebab itu kerajaan sebelum buat keputusan akan pertimbangkan keperluan termasuk bagi menjaga kesihatan rakyat dan keperluan menjaga ekonomi
“Kita akan bincang dengan lebih terperinci dan sebelum 4 Februari kita akan putuskan dan akan diumumkan sebelum sampai tempoh tamat PKP 2.0,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/25/lockdown-4-februari-zahid-minta-kerajaan-sediakan-payung-sebelum-hujan/
