SELEPAS dikritik kerana tidak mengumumkan cuti peristiwa Thaipusam pada tahun ini di Kedah, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Noor ‘melukis’ penjelasan terhadap tindakan kerajaan negeri itu.
Menerusi Twitter, Sanusi memuatnaik gambar lukisan yang tertera perkataan ‘kita tak isytihar, mai mana pulak batal’ beserta lukisan cermin mata.

“Ok kita lukis pulak…Cuti peristiwa ni, kita kena isytihar setiap kali nak bagi cuti untuk setiap peristiwa.
“Bukan sekali bagi terus kekal setiap tahun,” katanya menerusi ciapan berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, keputusan kerajaan Kedah tidak mengumumkan cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam pada 28 Januari, bukan berniat menafikan hak penganut Hindu di negeri itu.
Sanusi berkata, penganut agama berkenaan masih boleh menyambut perayaan itu di mana sahaja dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 yang ditetapkan.
Menurutnya, semua orang sedang ‘dicutikan’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia bukan hanya melibatkan negeri Kedah, sebaliknya seluruh negara.-Malaysiapost

