KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mempersoalkan kewajaran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu mengadakan bengkel secara bersemuka semasa negara dilanda pandemik Covid-19.
Ia susulan laporan 11 guru di Terengganu yang disahkan positif Covid-19.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya kecewa dengan laporan tersebut setelah guru-guru telah diarah hadir Bengkel Pengajaran das Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Katanya, keghairahan pihak PPD Kuala Terengganu yang mengumpulkan guru tersebut untuk mengikuti bengkel telah mengundang risiko dijangkiti virus berkenaan.
“Persoalannya, adakah mereka tidak peka dengan keadaan semasa dan adakah guru-guru tersebut telah diberikan kelengkapan seperti pelitup muka, baju ‘overcoat’ atau mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Justeru, NUTP menyeru Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula aspek keselamatan guru yang kini mengajar pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Sijil Tinggl Pelajaran Malaysia (STPM) 2020, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Huat Hock berkata, NUTP mendapati ada sekolah yang telah memaksa guru mengajar dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang sedangkan waktu rasmi sesi pembelajaran adalah dari 7.30 pagi sehingga 2.30 petang, manakala dari 2.30 hingga 4.30 petang adalah waktu untuk kelas tambahan iaitu di luar waktu rasmi.
Beliau menambah, masa yang terlalu lama di sekolah tentu akan melemahkan semangat serta minat pelajar membuat persediaan bagi menghadapi SPM dan STPM kelak.
“Begitu juga dengan guru yang telah bertungkus-lumus menyedia dan mengajar secara PdPR sebelum ini.
“Daya tahan kesihatan pelajar dan guru turut akan terjejas kerana terperap di dalam kelas sahaja tanpa melakukan aktivti riadah yang mana dapat menguatkan ketahanan dan imunisasi badan seseorang.
“Justeru, NUTP ingin mencadangkan agar jadual keberadaan pelajar di dalam kelas dan PdPR dapat diselaraskan di semua sekolah,” katanya.
Beliau juga menyarankan pelajar dan guru diberi ruang dan masa untuk melakukan aktiviti riadah secara persendirian.
“NUTP juga ingin menyeru KPM agar dapat menyediakan peralatan pelindung diri (PPE) kepada guru agar keselamatan dan kesihatan mereka lebih terjamin,” katanya.

