RAKYAT dinasihatkan tidak bimbang dengan membuat pembelian panik berikutan berita pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ yang tersebar sejak semalam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid, kerajaan akan memastikan dalam apa keadaan sekali pun, aktiviti pengedaran dan perdagangan tidak akan terjejas.
Beliau berkata, pemeriksaan KPDNHEP mendapati keberadaan bekalan barangan asas ini berada pada skala 100 peratus kadar kecukupan.
“Jadi pengguna tidak perlu bimbang dan jangan melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan dalam pasaran.
“Kerana situasi sebenarnya tidak memerlukan mana-mana pihak melakukan panic buying atau ‘stock up’ berlebihan kerana ia akan menimbulkan masalah lain,” katanya kepada Malaysiapost.
Rosol berkata, sekiranya rakyat bekerjasama dengan tidak melakukan pembelian panik ia sekali gus dapat mengelak masalah kekurangan atau terputus bekalan.
Beliau berkata, pembelian panik hanya boleh menyebabkan peningkatan harga barangan secara mendadak.
Katanya, pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara melakukan pemantauan kuantiti dan keberadaan bekalan barangan asas setiap hari.
“Ia merangkumi 11 barangan keperluan asas iaitu (a) Gula (b) Minyak masak (c) Tepung gandum (d) Beras (e) Roti putih (f) Susu tepung (g) Ayam (h) Sayur-sayuran (i) Telur (j) Bawang (k) Pelitup muka 5.
“Sebanyak 748 premis perniagaan di seluruh negara merangkumi peringkat pengilang, pemborong dan peruncit telah dijalankan pemantauan keberadaan bekalan semalam dengan jumlah kumulatif sebanyak 17,501 premis diperiksa di seluruh negara sehingga setakat ini,” katanya.
Rasol berkata, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti pengedaran dan perdagangan dalam negeri pihaknya akan pastikan dalam apa keadaan sekali pun, aktiviti pengedaran dan perdagangan tidak akan terjejas.
“Selain memastikan rangkaian peruncitan, pengedaran serta pemborongan yang merupakan nadi kepada ekonomi domestik tidak terjejas dan dapat memberi keyakinan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan asas,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Kerajaan dijangka akan mengumumkan penutupan ekonomi sepenuhnya selepas 4 Februari, sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini terus tidak menunjukkan penurunan.
Perkara itu dimaklumkan Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia) dalam surat yang dikeluarkan kepada anggotanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
1. https://malaysiapost.com.my/2021/01/24/covid-19-sektor-ekonomi-dijangka-tutup-sepenuhnya-jika-kes-terus-meningkat/
2. https://malaysiapost.com.my/2021/01/25/lockdown-4-feb-rakyat-berhak-tahu-kerajaan-jangan-sorok-ppim/

