KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat Malaysia bersatu dan memikul tanggungjawab bersama bagi memerangi wabak Covid-19.
Dr Noor Hisham menerusi ciapan di Twitternya turut meluahkan perasaan sedih kerana kes positif Covid-19 makin meningkat.
Sehubungan itu, katanya, rakyat dan petugas barisan hadapan perlu berkerjasama dan kuat untuk menangani penularan wabak ini.
“Saya sungguh sedih, kita telah bertahan selama setahun bertarung melawan Covid-19.
“Hujungnya hampir tidak kelihatan. Namun walaupun keletihan mental dan fizikal, kita semua perlu terus maju.
“Semua orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita,” katanya menerusi Twitter.
Dalam masa sama, Dr Noor Hisham meminta orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), memakai pelitup muka dengan betul, cuci tangan dan jaga jarak fizikal.
“Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah kecemasan di luar.
“Bersama-sama kita dapat memutuskan rantai transmisi Covid-19.
“Kita mesti bersatu dan bersama-sama… perjuangan akan berterusan InshaAllah,” katanya.
Hari ini genap setahun Malaysia mengesahkan kes pertama Covid-19 melibatkan tiga warga China yang memasuki negara ini melalui Johor.
Kesemua pesakit itu terdiri wanita warga emas berusia 66 tahun serta dua cucunya masing-masing 11 dan dua tahun.
Mereka adalah ahli keluarga terdekat kepada kes pertama yang berlaku di Singapura. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

