SIARAN TV Pendidikan perlulah membantu guru dan ibu bapa menguruskan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara bersistematik selari dengan Penjajaran kurikulum KSSR dan KSSM.
Presidennya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghidupkan semula TV Pendidikan dan mencadangkan ia perlu disusun mengikut tahap umur dan kandungan yang berperingkat berdasarkan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT).
“Ini bagi membolehkan murid bagi setiap peringkat umur dari darjah 1 sehingga ke tingkatan 5 mendapat pengajaran melalui siaran pada waktu-waktu yang telah ditetapkan pada setiap hari.
“Seterusnya, RPT dan jadual siaran mengikut peringkat umur ini dimaklumkan kepada setiap sekolah dan secara umum kepada masyarakat awam melalui portal media kementerian. Ini membolehkan pihak sekolah membuat tindakan susulan daripada televisyen kepada bentuk tugasan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berita berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/22/perkasa-tv-pendidikan-atasi-bebanan-ibu-bapa/
Menurut Muhammad Faisal, KPM tidak menghadapi masalah mewujudkan TV Pendidikan dengan segera kerana telah mempunyai beberapa bahan mentah sebelum ini.
“ABIM berpandangan hal ini dapat disegerakan memandangkan pihak KPM telah pun mempunyai pelbagai sumber video pengajaran daripada portal sedia ada seperti EduwebTV dan Cikgootube, yang mana hanya perlu dipilih dan disusun untuk siaran di peringkat televisyen awam,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Faisal berkata, ABIM berharap kerajaan dapat menyediakan pakej tambahan khas bagi memperkasakan siaran TV Pendidikan ini.
“Memandangkan pewujudan semula saluran khas TV Pendidikan tidak dimasukkan dalam intipati utama Belanjawan 2021, ABIM memohon kerajaan dapat menyediakan pakej tambahan khas untuk tujuan ini.
” Ini akan memberi manfaat kepada 37 peratus murid atau sebanyak 1.7 juta murid yang tidak mempunyai peranti digital seperti laptop, tablet atau komputer bagi pembelajaran dalam talian, yang diistilahkan sebagai miskin digital, khususnya di Sabah dan Sarawak, “katanya. -Malaysiapost

