Nurul Huda Abhar
TERKENAL dengan sifat suka membantu golongan yang dalam kesusahan, pendakwah bebas, Ebit Lew sekali lagi menarik perhatian umum apabila menghadiahkan motosikal buat dua adik beradik yang baharu kehilangan ibu pada 21 Januari lalu.
Bukan itu sahaja, Ebit juga berhasrat untuk menghantar dua beradik tersebut yang berumur 16 dan 17 tahun kembali ke sekolah.
Menerusi perkongsian Ebit di laman Facebooknya, beliau berkata, Allahyarham ibu kepada dua beradik itu kehilangan sebelah kaki dan menjalani dialisis.
“Sayu sangat rasa hati terbaca dua beradik yang tinggal dengan mak semenjak kecil. Maknya meninggal dunia 21 Januari dan hilang motor. Mak tiada sebelah kaki dan sakit buah pinggang dan sentiasa dialisis.
“Ada seorang kakak dibesarkan oleh nenek dan makcik. Mereka berdua dengan mak. Sekarang tinggal berdua jer. Seorang 17 tahun. Seorang 16 tahun. Dah lama juga tak ke sekolah.
“Baik-baik adik berdua ini. Saya bincang tadi untuk sekolahkan mereka berdua. Masuk sekolah mereka inginkan. Saya kata adik berdua belajar sampai berjaya yer. Nanti saya bayarkan yuran dan lain-lain,” katanya yang turut memuat naik gambar dua beradik itu menerima motosikal baharu.
Ebit berkata, selain memberikan motosikal baharu beliau juga memberikan sedikit duit belanja kepada dua beradik itu untuk perbelanjaan mereka.
“Saya hadiahkan motor baru Modenas. Dapat diskaun. Tauke kedai THM Motorcyles Trading Desa Pandan baik. Setahun adik ni servis dan ganti barang percuma jer di kedainya. Dia kasihan pada adik tadi. Dia kenal saya. Selalu tengok Ebit Lew.
“Saya beri sedikit duit belanja buat keduanya. Semoga adik berdua kuat yer. Ibunya mendapat bantuan bulanan dari BaitulMal KL.
“Semoga adik berjaya dalam hidup dan terus kuat tabah yer. Jumpa mak dalam syurga Insya Allah,” ujarnya. – Malaysiapost
Berita berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/08/ebit-lew-sumbang-100-kerusi-roda-dan-raikan-frontliner-hospital/

