Penangguhan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ke tahun 2021 susulan peningkatan kes wabak Covid-19 di beberapa negara disambut baik oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Beliau menyifatkan penangguhan itu memberi peluang kepada semua pemain untuk lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Saya rasa penangguhan ini petanda baik untuk skuad kebangsaan. Ini kerana kalau dilihat kita tak ada perlawanan-perlawanan yang kompetitif sejak beberapa bulan ini.
“Tiba-tiba pada Ogos dan awal September, ada jadual padat dalam Liga Malaysia, kemungkinan pemain-pemain tidak bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Jadi bagi saya secara peribadi, penangguhan kempen kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ini sebagai satu berita yang baik,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Sebelum ini AFC menerusi kenyataan memaklumkan keputusan penangguhan itu terpaksa dibuat bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua pemain serta pegawai pasukan.
Mereka akan bekerjasama dengan pemegang taruh dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk memantau situasi semasa.

