
RAKAM modul pembelajaran dan muat naik di YouTube antara kaedah yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah pembelajaran khususnya ketika krisis pandemik Covid-19 melanda negara.
Seorang pensyarah, Mohd Hizam Hanafiah berpendapat kaedah itu memudahkan pelajar untuk mengakses bila-bila masa tanpa perlu berebut peranti seperti komputer riba.
“Covid-19 dah dekat setahun, mengapa masalah pembelajaran di sekolah tak selesai? Mengapa tak rakamkan setiap topik/modul di YouTube? Kalau muat naik di YouTube, pelajar boleh akses bila-bila masa, tak perlu berebut tablet, komputer riba,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hizam berkata, masalah yang perlu diatasi ketika ini menerusi kaedah itu adalah capaian internet serta peranti.
“Nak tambah baik Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan YB (Yang Berhormat) cari jalan bagi tablet kepada golongan memerlukan.
“Memang keberkesanan belajar dari YouTube tidak sama seperti dalam bilik darjah tetapi ia adalah alternatif terbaik bagi saya untuk atasi masalah pembelajaran sekarang.
“Apatah lagi, bahan ini boleh diguna pelajar bertahun-tahun lamanya, selagi silibus tak bertukar. Sebahagian bahan juga generik, boleh diguna sepanjang zaman,” katanya.
Berita berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/19/presiden-iguru-kongsi-persediaan-kaedah-pdpr-untuk-guru-murid/
Beliau juga turut mempersoalkan Kementerian Pendidikan dalam masalah yang dihadapi ketika ini seolah-olah tiada perancangan dilakukan.
“Adakah KPM ingat Covid-19 ni sekejap ja? Tak ada perancangan dari Mac 2020 tentang hal ini?,” soalnya.
Rabu lalu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah bermula bagi sesi persekolahan 2021 di seluruh negara untuk memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.
Kementerian Pendidikan Malaysia komited melaksanakan PdPR bagi membolehkan sesi pembelajaran diteruskan meskipun negara masih berdepan penularan Covid-19 yang belum reda.
PdPR ialah PdP yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian dan kaedah ini boleh dilaksanakan dalam talian atau luar talian atau off-site dengan berstruktur dan terancang. -Malaysiapost
