Darurat: ‘Perbalahan rebut jawatan PM kerja mengarut’ – Hadi

0
2

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan tindakan beberapa pihak yang berebut jawatan Perdana Menteri adalah tidak wajar ketika negara masih dibelenggu wabak Covid-19.

Beliau juga menyifatkan tindakan itu tidak peka dengan kesusahan yang menimpa rakyat ketika negara sedang memerangi wabak tersebut.

“Perkara yang tidak patut kita buat dalam masa ini, berbalah siapa nak jadi Perdana Menteri, nak lantik siapa Perdana Menteri.

“Suasana begini nak berbalah begitu, nak cukup undi Parlimen ini semua kerja-kerja mengarut. Tidak peka dengan wabak yang menimpa rakyat, yang mesti ditolak, dicegah apa sahaja langkah-langkah yang boleh mengganggu kerja majlis darurat mesti ditangani dengan peraturan yang tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan program ‘Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan?’ yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah secara dalam talian hari ini.

Abdul Hadi berkata, berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di negara mahupun seluruh dunia, kerajaan wajar memikirkan cara untuk mengatasi dan mengekang penularan wabak tersebut.

Katanya, ulama ada menyatakan bahawa menolak keburukan hendaklah didahulukan berbanding menarik kemaslahat.

“Keburukan yang mendatang, mudarat sudah berlaku iaitu sudah ada yang ditimpa wabak (Covid-19) ini. Maka wajar kerajaan bertindak sesuatu.

“Setelah diberi masa dan tempoh beberapa bulan sehingga hari ini tidak dapat dibendung dan perlu dibuat kajian secara mendalam ataupun andaian-andaian,” katanya lagi.

Abdul Hadi berkata, meskipun kerajaan dapat mengatasi wabak atau tidak wabak Covid-19, kemasukan warganegara asing masih tidak dapat disekat secara izin ataupun sebaliknya.

Katanya, kemasukan warganegara asing ke sempadan negara juga kemungkinan besar membawa wabak Covid-19.

“Jika dilihat pada anggota barisan hadapan khususnya polis dan petugas kesihatan telah ada di antara mereka yang dijangkiti Covid-19.

“Persediaan kesihatan juga perlu cukup lengkap, kerajaan perlu mengerahkan mana yang ada bagi mengisytiharkan darurat, bagi mengatasi dan menyelamatkan nyawa manusia daripada menjadi mangsa korban,” ujarnya.

Berita berkaitan:

Sementara itu, beliau turut memberitahu Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa semasa berlakunya wabak taun di negeri Syam, orang ramai ketika itu tidak dibenarkan untuk masuk ke negeri yang mempunyai wabak.

Malah, katanya, mereka yang berada ditempat yang diserang wabak taun tidak dibenarkan keluar.

“Dengan maknanya, dari segi mendatangkan mudarat dan jangan beri mudarat pada orang lain. Dan itulah peraturan kuarantin yang diperkenalkan kini,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan mahu persidangan Parlimen diteruskan.

Anwar juga memberitahu beliau dan majoriti sokongan daripada Ahli Parlimen akan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menolak darurat yang diisytiharkan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here