Covid-19: Kemudahan hospital, PKRC di Kelantan dijangka bertahan 2 bulan

0
2

KEMUDAHAN yang disediakan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) untuk proses rawatan pesakit di Kelantan dijangka hanya mampu bertahan selama dua bulan. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata jangkaan itu berdasarkan jumlah peningkatan lebih 100 kes setiap hari yang dilaporkan di negeri itu. 

Katanya, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM), kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 di Kelantan adalah 1.26 dan ia melebihi bacaaan Rt kebangsaan iaitu 1.14. 

“Sekiranya kes di Kelantan semakin meningkat, kita bimbang jangkitan Covid-19 di negeri ini juga akan meningkat. Keadaan itu menyebabkan kemudahan di hospital dan PKRC tidak mampu menampung keperluan pesakit yang mendapatkan rawatan. 

“Setakat ini, lapan hospital serta empat PKRC iaitu tiga di Kota Bharu termasuk Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan satu di Gua Musang disediakan untuk menempatkan pesakit Vovid-19. 

“Sebagai persediaan awal, kita mencari beberapa dewan yang boleh dijadikan PKRC untuk menempatkan pesakit menghidap gejala pada tahap rendah agar segala masalah berkaitan kemudahan ini dapat diatasi. Selain itu, ada pesakit yang dibenar kaurantin di rumah,” katanya, lapor Kosmo. 

Mengulas lanjut, Zaini berkata.setakat ini, kakitangan JKNK yang bertugas bagi menguruskan kes Covid-19 masih mencukupi. 

Katanya lagi, sekiranya keadaan memerlukan, kakitangan yang dihantar bertugas di luar Kelantan akan dipanggil kembali. 

“JKNK juga akan memastikan petugas tidak menghadapi tekanan kerana terlalu penat sewaktu bertugas malah mereka juga akan diberi kaunseling setiap masa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here