TIDAK adil heret parti dalam hal peribadi, kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Beliau berkata tidak adil bagi mana-mana pihak untuk mengaitkan kes penahanan seseorang individu itu dengan partinya dan meminta orang ramai berfikir secara rasional.
Memberi contoh Umno, Rafiq kata tidak adil orang ramai menyalahkan Umno jika ada ahli parti itu terbabit dengan dadah.
“Tidak adil mana-mana pihak nak salahkan, libatkan Umno jika ada beberapa ahli Umno terlibat dadah.
“Begitu juga jika melibatkan ahli Bersatu atau parti lain. Parti tak terlibat dengan dadah, yang terlibat hanya beberapa individu sahaja. Berfikirlah secara rasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran sama beliau berkongsi keratan berita mengenai pemimpin pemuda Umno yang dikaitkan dengan dadah.
Terdahulu media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, mendedahkan seorang ahli perniagaan yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum ke-14 ditahan polis selepas disyaki mengedar dadah yang diproses sendiri di rumah.
Suspek yang pernah bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda sebuah parti politik tahun lalu itu ditahan polis dalam satu serbuan di Fraser Business Park, Pudu pada Rabu lalu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
Foto Kredit: Bernama

