PKP: 5,800 kedai gunting rambut gulung tikar, 16,728 terpaksa ‘ikat perut’

0
2

SEBANYAK 5,800 salon dan pusat dandanan rambut terpaksa gulung tikar susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu sehingga kini. 

Malah, kira-kira 74,500 tenaga kerja dari 16,728 perniagaan berdaftar di bawah sektor itu sekali lagi terkesan apabila terpaksa menutup pintu perniagaan mereka pada pelaksanaan PKP 2.0 kali ini. 

Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto berkata, bimbang semakin ramai terpaksa gulung tikar dengan pelaksanaan PKP 2.0 kali ini pihaknya menghantar surat rayuan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memohon kebenaran beroperasi. 

“Sebelum ini kami sudah membuktikan mampu mematuhi SOP ditetapkan dan tidak pernah lagi wujud kluster gunting rambut, kami yakin kali ini kami juga mampu mematuhi SOP berkenaan,” katanya seperti dilaporkan lapor Bernama. 

Antara SOP ditetapkan kerajaan bagi sektor ini termasuk pemakaian pelindung muka, apron pakai buang dan satu set sarung tangan bagi setiap pelanggan serta menjaga jarak antara pelanggan sekurang-kurangnya dua meter, selain memastikan bilangan pelanggan mengikut keluasan premis. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Spa Malaysia (Amspa) Datin Jeanette Tembakau khuatir industri spa bakal ‘nazak’ sekiranya terus tidak mendapat kebenaran beroperasi. 

Sehingga kini, beliau anggarkan terdapat kira-kira 60 spa yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menanggung bebanan kos. 

“Kami sangatlah menitikberatkan kebersihan dan pematuhan SOP. Malah dalam satu bilik pun biasanya paling ramai dua pelanggan saja dan katil memang diletakkan berjauhan. Kami turut mewajibkan latihan berhubung SOP kepada spa terapi kami secara dalam talian,” katanya. 

Beliau juga menyatakan industri spa sebenarnya boleh diumpamakan sebahagian perkhidmatan perlu memandangkan fungsinya berkaitan dengan kesihatan terutama terapi yang sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan. 

“Sekarang memang banyak orang menghadapi tekanan terutama apabila ‘terperangkap’ disuruh duduk di rumah, bekerja di rumah. Kurang pergerakan menyebabkan tubuh badan letih dan tidak bermaya,” katanya menambah ketika ini terdapat lebih kurang 400 ahli berdaftar di bawah Amspa. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here