Liga-M kekal tanpa penonton

0
3

Nilam Oshman

Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan akan bermula semula pada 26 Ogos ini kekal berlangsung tanpa kehadiran penonton, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Oleh itu, pihak penganjur perlu memastikan semua Garis Panduan yang ditetapkan dipatuhi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut menyentuh berkenaan kempen Pembudayaan Norma Baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pihak swasta termasuk persatuan-persatuan runcit dan pengusaha makanan digalakkan untuk mengambil bahagian dalam kempen ini.

“Pihak swasta boleh memainkan peranan penting dalam membudayakan norma baharu dengan perkongsian maklumat dan kepentingan kawalan kendiri dalam membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Logo Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan PDRM bagi poster kempen kesedaran yang dikeluarkan oleh pihak swasta dan persatuan adalah dibenarkan untuk menunjukkan sokongan agensi-agensi tersebut dalam kempen ini dan bukan untuk tujuan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada agensi yang berkaitan terlebih dahulu serta merujuk Garis Panduan Penyediaan Kandungan Bahan Promosi Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).