Miss Universe Malaysia kongsi pengalaman dijangkiti Covid-19

0
2

MISS Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James menggigil sebaik disahkan positif Covid-19 pada awal Januari lalu.
Namun anak jati Sarawak itu kini sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan wabak berkenaan selepas menjalani kuarantin sendiri di rumah selama dua minggu.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Francisca mendedahkan dia sudah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sebaik mungkin, namun tetap dijangkiti. 
“Saya mematuhi segala SOP dengan memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, membasuh tangan dan garis panduan lain tetapi ia tetap berlaku (dijangkiti).
“Namun saya akui ini merupakan kecuaian diri sendiri dan saya berjaya mengharunginya,” kata Francisca.
Menerusi perkongsian itu juga, Francisca turut berkongsi perasaannya sejurus menerima keputusan dia positif virus tersebut.
“Sewaktu menerima keputusan itu, saya menggigil dan terus menghubungi kedua-dua ibu dan bapa walaupun saya tahu mereka akan bertambah bimbang sekiranya mendapat tahu tentang berita ini.
“Mereka mampu menenangkan saya dan meminta saya untuk terus mematuhi SOP yang digariskan,” katanya. 
Menurutnya lagi, dia juga menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri kerana tidak mempunyai sebarang simptom kecuali sedikit sakit di belakang badan serta selsema ringan.
“Saya memohon maaf kerana tidak memaklumkan perkara ini (sebelum ini) namun saya sudah memaklumkan perkara ini kepada semua kontak rapat.
“Mereka juga sudah menjalani ujian saringan dan disahkan negatif.
“Saya juga sudah menjalani ujian saringan kedua selepas kuarantin 10 hari dan saya bersyukur kerana ia negatif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here