Ahmad Faizal letak jawatan Presiden PAFA

0
3

KEMELUT politik di Perak yang menyaksikan berlaku perubahan pimpinan negeri, turut memberi kesan kepada kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Selepas tidak lagi bergelar menteri besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden PAFA berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ahmad Faizal, ia bagi memastikan krisis kewangan PAFA diselesaikan secepat mungkin kerana sukar bagi beliau mendapatkan tajaan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta, selepas tidak lagi menjadi menteri besar, lapor Bernama.

“Penting bagi pemain dan pegawai untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan negeri serta GLC untuk mereka meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.

“Bayaran gaji pemain serta pegawai telah tertunggak sejak pertengahan November 2020 hingga kini yang melibatkan hampir RM2 juta setiap bulan,” katanya menerusi sidang media hari ini.

Ahmad Faizal berkata beliau sebenarnya berhasrat melepaskan jawatan ketika kongres PAFA yang dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya bulan depan.

“Tetapi saya membuat keputusan untuk lepas jawatan secepat mungkin kerana khuatir pemain akan berhijrah ke pasukan lain sekiranya bayaran gaji tidak dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau yang dipilih sebagai Presiden PAFA pada 6 Disember 2018 juga memaklumkan proses penswastaan kelab Perak FC, logo, jersi serta kontrak pemain telah diselesaikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PAFA yang juga pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah turut mengumumkan peletakan jawatan hari ini.

Keputusan itu, katanya, dibuat bagi menghormati tindakan presiden melepaskan jawatan serta kelangsungan pasukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here