Pensyarah kanan UiTM didakwa dipaksa letak jawatan selepas lawatan ke pejabat DAP

0
2

MAHASISWA Keadilan Malaysia UiTM (MKM UiTM) mendakwa seorang pensyarah kanan universiti itu dipaksa meletak jawatan hujung bulan lalu, susulan penganjuran aktiviti lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat DAP.

Dr Che Hamdan Che Mohd Razali adalah pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengurusan Polisi (FSPPP) di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Beliau dilantik Penolong Rektor UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub pada 15 Jun 2020.

Menurut MKM UiTM, Dr Che Hamdan telah meletakkan jawatan pada 28 Disember lalu secara paksa dan atas desakan pihak atasan.

“Desas-desus sebab peletakan jawatan tersebut adalah kerana penganjuran aktiviti lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat DAP pada 2 Disember 2019.

“Tujuan lawatan tersebut bagi memenuhi kriteria dalam silibus yang disediakan bagi subjek politik yang diajar oleh beliau.

“Justeru, di sini jelas tiada kesalahan yang dilakukan beliau serta lawatan tersebut merupakan lawatan akademik dan berilmiah,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, MKM UiTM menuntut penjelasan pihak pentadbiran tentang rasional arahan peletakan jawatan Dr Che Hamdan kerana ia jelas menunjukkan arahan itu mempunyai campur tangan politik.

UiTM katanya, sewajarnya menjadi lebih holistik dalam memastikan kecemerlangan tenaga pengajar serta kemenjadian pelajar, selain tidak lagi terhimpit oleh aturan politik sempit yang hanya mempunyai kepentingan peribadi.

“MKM UiTM menuntut keadilan atas Dr Che Hamdan serta bersolidariti kerana memandang segala tuduhan dan ugutan dilakukan sebagai tidak matang serta tidak bertamadun.

“Perbuatan tersebut pastinya tidak wajar dan berlawanan dengan apa yang diperjuangkan oleh UiTM dalam usaha mengubah destini anak bangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here