Hidung tak dapat hidu bau minyak attar, emak disahkan positif Covid-19

0
2

KEGAGALAN hidung menghidu bau adalah antara simptom awal seseorang individu dijangkiti virus Covid-19.

Seorang pelayar twitter @silly_boney menciapkan kisah ibunya yang disahkan positif Covid-19 selepas didapati gagal menghidu sebarang jenis bauan meskipun pewangi minyak attar yang diletakkan di depan hidungnya.

Menerusi bebenang Twitter, lelaki itu yang juga dikenali sebagai Akram menceritakan, ibunya mengalami demam, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.

Risau keadaan ibu telah dijangkiti Covid-19, dia membawanya menjalani ujian saringan Rapit Test Kit (RTK) di sebuah klinik swasta.

Bagaimanapun, beliau lega apabila keputusan RTK menunjukkan negatif dan ibunya kembali menjalani rutin harian biasa di rumah, meskipun masih tidak sihat sepenuhnya.

Namun, kelegaan lelaki itu tidak berpanjangan, apabila ibunya mengadu tidak dapat menghidu sebarang bauan ketika makan, lidah tidak dapat merasa sebarang jenis tesktur makanan, menyebabkan Akram membawanya menjalani ujian ‘swab’ dengan kaedah Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (PCR) pula.

“Bayangkan emak aku tak bau langsung minyak attar, even letak depan hidung! Minyak attar tu imam pakai atas mimbar, makmum yang datang Tahiyyat akhir pun boleh bau.

“Demam, sakit tekak, sakit kepala semuanya simptom, tapi bila makan tak rasa apa, terus buat PCR ya. Bazir duit buat RTK,” ciap Akram.

Sejak pandemik Covid-19 menyerang negara tahun lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan teknik RTK atau kit ujian pantas tidak disarankan untuk tujuan diagnosa, sebaliknya keputusan ujian tepat melalui teknik PCR yang dilakukan KKM adalah penting dalam pengurusan mengesahkan pesakit Covid-19 yang berkesan.

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menggesa orang ramai tidak menjalani ujian RTK sewenang- wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat daripada pengamal perubatan, kerana berpotensi untuk menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi.

“Ketika ini, virus telah ada pada kami, sesiapa sahaja boleh positif Covid-19. Mak aku disahkan positif pada Jumaat lepas dan dibawa ke MAEPS Serdang.

“Satu je nak pesan, jika ada close contact atau hilang deria rasa dan bau, terus buat PCR! Result mak aku pada mulanya negatif, buat PCR positif pula,” ciap Akram.

Akram juga turut menasihatkan warganet untuk tidak mengecam para pesakit Covid-19 kerana ia boleh menjejaskan emosi mereka menjadi lebih teruk lagi.

“Sebelum korang cakap apa-apa pada orang yang positif Covid-19, fikir dulu ayat. Nak maki hamun, salahkan ke apa, cakaplah belakang-belakang. Mereka ni dah cukup down.

“Faham yang korang terkejut, risau terjangkit, tapi orang yang positif ni tak minta pun terkena, lagilah nak terjangkitkan pada orang,” ciap Akram yang memang menetap bersama keluarganya di Putera Heights. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here