Tan Sri, Umno bukan untuk dijual – Isham Jalil

0
2

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menasihatkan Tan Sri Annuadisaran supaya memberi tumpuan bagi membantu kerajaan mengekang wabak Covid-19 yang melanda negara sekarang.

Annuar yang baru dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Umno itu turut diingatkan supaya menghentikan serangannya kepada parti sendiri dan tidak lagi dilihat menjadi jambatan perhubungan kepada parti lain.

“Sebagai seorang sahabat, saya sarankan supaya sebagai menteri kabinet, Tan Sri Annuar Musa lebih fokus untuk membantu kerajaan mencari jalan menurunkan penularan wabak Covid-19 yang kini sedang mencanak naik akibat keputusan-keputusan salah yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

“Dan bukannya sibuk berpolitik menyerang rakan-rakan sendiri dalam parti umpama cuba untuk memecahbelahkan UMNO dan memberi kelebihan kepada parti lain iaitu Bersatu pula,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Isham menyifatkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu yang mendakwa kononnya beberapa pemimpin Umno cuba ‘mensedirian berhadkan’ parti itu adalah satu usaha politik untuk mempertahankan dirinya.

“Kenyataan ini adalah respon defensif beliau terhadap sentimen akar umbi Umno yang rata-rata telah membuat keputusan dalam beratus-ratus mesyuarat perwakilan di peringkat cawangan dan bahagian baru-baru ini untuk menolak sekutu rapat beliau iaitu Bersatu

“Dalam penulisan beliau tersebut, nampak jelas bahawa Annuar Musa begitu terasa terhadap sentimen akar umbi dan juga pendirian ramai pemimpin parti dari peringkat cawangan sehinggalah ke majlis tertinggi yang tidak bersetuju dengan beliau dan sudah boleh baca akan niat beliau dan melihat beliau sedang gigih cuba untuk menjual Umno kepada Bersatu,” katanya.

Semenjak dilucutkan jawatan sebagai Setiausaha Agung BN, Annuar terus mengkritik beberapa pihak dalam Umno.

Terbaru Ahli Parlimen Ketereh itu menyerang beberapa pemimpin Umno dengan mendakwa terdapat usaha mahu ‘memonopoli’ parti itu.

Tanpa menyebut sebarang nama, Annuar juga membidas sesetengah pihak yang digelarnya sebagai “tukang penulis naratif” di “menara”, dipercayai merujuk Menara Dato Onn di mana terletaknya ibu pejabat Umno, yang katanya sibuk mereka cerita untuk menghalalkan perbuatan beberapa pemimpin itu.

“Tan Sri, UMNO bukan untuk dijual,” tambah Isham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here