Nilam Oshman
KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta semua pihak khususnya ibu bapa supaya berhenti membuat andaian guru tidak menjalankan tugas ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).
Ia susulan tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu apabila sebahagian ibu bapa menyuarakan keluhan dan tidak puas hati terhadap guru, yang didakwa hanya memberi kerja sekolah bertimbun kepada murid ketika sesi persekolahan tahun lalu.
Justeru, ibu bapa menyifatkan situasi itu menyebabkan berlaku lambakan kerja sekolah anak-anak sehingga membebankan mereka untuk memantau.
Mengulas mengenainya, Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata isu itu perlu diteliti dengan lebih mendalam dan orang ramai tidak sewajarnya mendengar sesuatu isu dari sebelah pihak sahaja.
Katanya, ini kerana manual PdPR dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) lebih menyeluruh serta melibatkan hal-hal berkaitan dengan proses pengajaran.
“Kita tak boleh membuat andaian penilaian berasaskan kepada satu luahan sebegitu.
“Kalau kita lihat panduan yang diberikan KPM, ada proses pembelajaran sebelum guru beri tugasan. Masalah mungkin berlaku disebabkan aspek pemilikan peranti atau tiada capaian internet,” katanya kepada Malaysiapost.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, jika dilihat proses PdPR secara menyeluruh, ia tidak semata-mata memberi latihan sahaja.
“PdPR mempunyai proses pengajaran tetapi ada pelbagai peringkat mengikut kesediaan murid.
“Kita tak boleh bandingkan PdPR ini dengan bersemuka di sekolah kerana berbeza dari segi masa, contoh di sekolah tempoh masa ditetapkan beberapa jam.. online satu hingga dua jam saja.
“Memanglah bersemuka itu lebih baik dan berkesan namun keadaan Covid-19 sekarang ini tidak mengizinkan.
“Adakah kita nak mempertaruhkan nyawa untuk belajar dalam keadaan bahaya wabak ini.. dalam keadaan ini, kita kena tengok pilihan terbaik,” katanya. – Malaysiapost

