Doktor rawat pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat keletihan

0
2

SEORANG doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia, kelmarin.

Berita sedih itu disampaikan menerusi satu hantaran dimuat naik Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB), semalam.

Dalam hantaran itu, SPJM menjelaskan, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham Dr Ali Noor Hassan yang juga ahli skuad tersebut melalui akaun FB miliknya.

“Arwah adalah ahli berdaftar SPJM dan mengikuti SPJM sejak 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada dua tahun lalu.

“Dr Ali dikhabarkan sebagai seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai ijtimak atau perhimpunan jemaah tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak,” katanya.

SPJM menyifatkan Dr Ali sebagai seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya,” katanya.

Dalam hantaran sama, SPJM berkongsi gambar terakhir Dr Ali yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit.

Difahamkan, Dr Ali pengsan kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas sebagai barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Dilaporkan, beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here