[Covid-19] Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) bersedia untuk membantu penduduk dan peniaga di Napoh mendapatkan khidmat guaman bagi memfailkan saman sivil terhadap pemilik Restoran Salleh, kata Setiausahanya, Mohd Yusrizal Mohd Yusoff.
Beliau berkata setakat ini tiga peguam menawarkan diri secara percuma untuk mewakili penduduk dan peniaga di kawasan itu.
“Pihak saya mengambil tindakan awal dengan menghubungi tiga orang peguam di negeri ini bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung tindakan saman ke atas pemilik restoran yang menyebabkan wujudnya kluster Sivagangga.
“Ketiga-tiga peguam memberikan maklum balas baik, malah menawarkan khidmat guaman secara percuma,” katanya seperti dilaporkan BH.
Mengulas lanjut, Mohd Yusrizal berkata, pihaknya bercadang untuk memfailkan saman secara bersama yang membabitkan CAKE dan kira-kira lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan belia, kaum India dan perubatan serta penduduk dan peniaga yang terjejas akibat pandemik.
Katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan membabitkan semua pihak bagi melancarkan lagi proses tindakan undang-undang.
“Tindakan saman ini dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pemilik restoran terbabit yang cuai, melanggar arahan kuarantin di rumah sehingga mengakibatkan penularan Covid-19 dan wujudnya kluster Sivagangga.
“Penularan virus ini bukan sahaja berlaku di Napoh, tetapi ia merebak ke daerah Padang Terap, Kulim seterusnya ke Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.
Katanya, CAKE turut mengalu-alukan penyertaan penduduk yang disahkan positif Covid-19 bagi kluster Sivagangga dengan menghubungi talian 04-7718241 atau melalui emel [email protected] dan Facebook Persatuan Pengguna Kedah.

