PADAH memberi suapan RM50 kepada anggota polis supaya tidak ditahan bagi kes individu dikehendaki, seorang pemandu teksi dipenjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan Beh Por Teik, 56, menjalani hukuman bermula hari ini dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.
Por Teik mengaku bersalah memberi suapan RM50 kepada Lans Koperal Adam Mohd Alhafiz yang bertugas di cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang masih dikehendaki (wanted) bersabit satu kes tipu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kuching pada 11 pagi, 16 September tahun lalu, mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqah Ab Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadapnya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri serta tiga anaknya, lapor Bernama.
Mengikut fakta kes, ketika pengadu (Lans Koperal Adam) dan seorang lagi anggota polis membuat rondaan di Jalan Loke Yew, mereka mengekori sebuah teksi dalam keadaan mencurigakan dan menahan kenderaan itu di Jalan Kuching untuk membuat pemeriksaan.
Pemeriksaan menggunakan sistem semakan MCAD (Mobile Card Acceptance Device) mendapati tertuduh mempunyai tiga rekod lampau, satu daripadanya masih dikehendaki bersabit laporan polis Taiping di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pengadu seterusnya memaklumkan kepada tertuduh bahawa polis akan menangkapnya bersabit laporan Taiping yang dia masih dikehendaki.
Ketika proses tangkapan, tertuduh menunjukkan sekeping wang RM50 di tangan kanannya namun anggota polis itu mengingatkan tertuduh bahawa tindakan itu adalah kesalahan rasuah.
Dia tidak mengendahkan amaran itu lalu mencapai tangan kanan pengadu dan menyerahkan RM50 serta meminta dia dilepaskan tanpa perlu ke balai polis.
Pengadu kemudian menggari tertuduh dan menyerahkannya kepada SPRM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

