Hukuman lebih berat menanti golongan LGBT

0
2

GOLONGAN lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bakal berdepan hukuman lebih berat apabila kerajaan bercadang meminda Akta 355 yang ketika ini memperuntukkan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Ia antara lain melibatkan perlakuan maksiat dan salah laku, termasuk berkelakuan tidak sopan dan berpakaian kontra dengan jantina.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata pendekatan itu diharap lebih berkesan kepada golongan tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk buat pindaan kepada kadar hukuman sedia ada supaya lebih memberi kesan kepada mereka.

“Pindaan itu perlu dalam usaha menangani salah laku golongan tersebut. Namun, buat masa ini, kita mengguna pakai enakmen sedia ada,” katanya selepas penyerahan Sumbangan Food Bank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya telah mengarahkan agensi agama dan penguatkuasa agama negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu berkelakukan tidak sopan termasuk berpakaian kontra dengan jantina.

“Seperti saya tegaskan sebelum ini bahawa maksiat daripada LGBT itu, kita tidak izinkan mereka berkelakukan seperti itu.

“Individu yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta membuat laporan supaya tindakan tegas boleh diambil termasuk proses pendakwaan.

“Untuk kes berkenaan, tumpuan kita lebih kepada Lembah Klang berbanding negeri lain seperti Kelantan kelihatan tidak begitu ketara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here