Hikmah ‘kuasa hujung jari’, jualan meningkat di sebalik PKP

0
2

DI sebalik pelbagai rungutan yang timbul susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ada hikmah lain yang tersembunyi.

Perkara itu diakui usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Norakmah Mat Youb, 40, yang menyifatkan PKP mengajarnya untuk menjadi seorang peniaga yang lebih matang dan rasional dalam mendepani cabaran baharu.

Dia mengakui pada awalnya buntu dan tertekan ketika pelaksanaan PKP pertama pada Mac tahun lalu, dek kerana bimbang terputus sumber pendapatan berikutan sekatan yang dikenakan.

“Sebagai peniaga kecil yang mencari rezeki dengan membuka gerai di tapak-tapak jualan, pastinya PKP adalah ‘mimpi ngeri’ bagi kami. Maklumlah ketika itu strategi perniagaan saya hanya tertumpu kepada kaedah jualan konvensional.

“Saya mengakui buntu dan tidak tahu macam mana untuk mencari sumber pendapatan ketika PKP. Tambahan pula memikirkan komitmen yang terpaksa dibayar setiap bulan,” katanya kepada Malaysiapost.

Anak jati kelahiran Banting, Selangor itu berkata, tidak mahu terus meratapi nasib, dia nekad menukar stratergi perniagaan dengan memanfaatkan teknologi digital termasuk memberi fokus kepada urusniaga secara online dan memperbanyakkan ejen jualan.

“Sebelum PKP, saya berniaga setiap hari dengan membuka gerai di tapak-tapak perniagaan sekitar Putrajaya termasuk Kuala Lumpur. Disebabkan sibuk, saya langsung tidak memberi fokus kepada jualan online.

“Namun, bila tidak dapat berniaga secara fizikal, saya beralih kepada perniagaan online dan memanfaatkan media sosial seperti Instagram dan Facebook selain platform e-dagang yang lain,” katanya.

Bekas wartawan di sebuah organisasi media arus perdana itu berkata, dia tidak menyangka bahawa usahanya itu membuahkan hasil apabila jualannya ketika PKP meningkat 50 peratus.

“Alhamdullilah saya langsung tidak sangka PKP ini mempunyai hikmah lain, jualan saya meningkat hampir 50 peratus.

“Walaupun harga produk dijual lebih mahal ketika PKP kerana pelanggan perlu membayar kos penghantaran berbanding sebelum ini. Tetapi kebanyakan mereka faham dan terus menyokong produk,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan PKP fasa kedua, Norakmah yang mengusahkan perniagaan produk makanan ringan, Hungry Hantoo berkata, berbanding PKP Mac lalu, dia lebih bersedia pada kali ini.

“Justeru, saya mempersiapkan stok bekalan produk lebih awal untuk memastikan permintaan pelanggan tidak putus ketika PKP kali ini.

“Jadi, saya fokus pada ejen dan online. Tambah pula ketika PKP memang kuasa beli dalam talian meningkat, jadi kelebihan itu saya manfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Selain itu, dia juga mengakui geran RM3,000 yang diberi kerajaan kepada usahawan PKS menjadi ‘talian hayat’ kepada peniaga kecil sepertinya.

“Maklumlah kami peniaga kecil ini kebanyakannya tidak mempunyai modal yang besar di tangan kerana terpaksa menggunakan tunai untuk ‘rolling bisnes’

“Jadi, dengan bantuan itu dapatlah kami membeli bekalan atau membuat pusingan modal untuk mengembangkan perniagaan dalam keadaan yang genting ini,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau juga memberi fokus kepada perniagaan produk jualan dan gubahan hamper cedera hati daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan.

“Apa yang penting kualiti produk perlu dijaga bagi menjamin keyakinan dan kesetiaan pembeli terutama pelanggan setia kami,” katanya.

Berkongsi tips perniagaan ketika PKP, Norakmah berkata, perkara paling penting adalah tidak berputus asa dan bersedia mencari peluang dan alternatif lain untuk berniaga.

“Jangan putus ada dan sempitkan pemikiran kita dengan hanya berkeluh-kesah, sebaliknya cari inisiatif lain yang boleh dimanfaatkan semasa tempoh PKP ini.

“Saya akui memang PKP ini memberi tekanan kepada semua pihak tidak kira apa juga bidang semua terjejas… termasuklah peniaga kecil. Jadi, kita jangan terus ‘down’,” katanya.

Baginya, rezeki setiap hamba Allah SWT di muka bumi ini sudah ditetapkan namun setiap inidividu wajib berusaha, doa dan tawakal.

“Lagi satu yang saya amalkan adalah konsep berkongsi rezeki kerana saya percaya kuasa bersedekah dan membantu orang juga membantu kepada kelancaran rezeki individu,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here