7 ditahan kes tuduh polis tendang motosikal

0
2

POLIS menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan susulan kemalangan membabitkan dua lelaki yang menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, Pulau Pinang, petang kelmarin.

Kesemua lelaki berkenaan yang berusia antara 23 hingga 45 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjung Tokong, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dua daripada lelaki terbabit didapati mempunyai tiga hingga lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua daripada yang ditahan itu positif dadah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown esok (hari ini) bagi permohonan reman.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini akan diteruskan termasuk melakukan tangkapan susulan terhadap suspek lain yang dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Soffian berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam selain Seksyen 506 Akta sama iaitu kesalahan melakukan ugutan jenayah.

Menurutnya, kes turut disiasat mengikut Peraturan 16 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran di media sosial termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 017-9272027 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, dalam kejadian 5.20 petang kelmarin, dua lelaki parah akibat terjatuh daripada motosikal yang didakwa ditendang dua anggota polis.

Gambar dan video kejadian itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi termasuk mengecam tindakan polis.

Namun, menerusi laporan dibuat pemandu kereta, mendapati dua lelaki terbabit yang tidak memakai topi keledar melarikan diri daripada polis dan melanggar lampu isyarat merah sebelum berlanggar dengan keretanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here