Muhyiddin ‘berkuasa mutlak’, Tun M jangka berlaku salah guna kuasa

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, “kuasa mutlak” yang diberikan kepada penggantinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pengisytiharan darurat akan menyebabkan berlaku pelanggaran dan penyalahgunaan kuasa.

Kata beliau, pengisytiharan darurat itu telah memberikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kuasa yang luar biasa.

“Semua yang dilakukan adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak boleh dipersoal dan juga tidak boleh dibawa ke Parlimen kerana semua persidangan telah dibatalkan. Kedaulatan undang-undang telah dihapuskan.

“Kita yakin niatnya baik, tetapi apabila kuasa mutlak diberikan, pelanggaran dan penyalahgunaan kuasa akan berlaku,” katanya dalam catatan di blognya hari ini.

Memetik laporan MalaysiaKini, katanya, peningkatan mendadak kes Covid-19 dijadikan alasan untuk rampasan kuasa melalui pengisytiharan darurat.

“Apa yang dapat dilakukan Perdana Menteri dengan kuasa mutlaknya untuk menyelesaikan krisis kesihatan ini?

“Bolehkah Perdana Menteri, dengan kuasanya memenjarakan orang hingga 10 tahun dan menjatuhkan denda RM5 juta dapat mengurangkan jumlah kes?” soal Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, masalah yang berpunca daripada wabak Covid-19 tidak boleh diselesaikan dengan mudah.

Antaranya ialah tekanan sistem penjagaan kesihatan akibat peningkatan kes, kesesakan di asrama pekerja asing hingga menyebabkan peningkatan jangkitan dan juga masalah ekonomi.

“Nasihat apa yang boleh (Muhyiddin) berikan kepada Yang di-Pertuan Agong yang akan mengurangkan jumlah mereka dijangkiti, mereka yang harus dirawat di hospital, mereka yang akan mati?” soalnya.

Tambahnya, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah hilang majoriti dan hak mentadbir, maka hanya melalui perisytiharan darurat sahaja, kerajaan minoriti ini memperoleh kuasa untuk memerintah.

Pada 9 Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN.

Pada 12 Januari pula, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan.

Dengan penarikan sokongan oleh Nazri, kerajaan Muhyiddin hilang majoriti dengan hanya disokong 109 daripada 220 anggota Parlimen.

Dalam catatan blognya hari ini, Mahathir berkata, darurat tidak perlu dilaksanakan sejak awal kerana kerajaan sudah mempunyai kuasa dan rakyat Malaysia telah mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Kita bukan seperti negara barat yang liberal, di mana rakyat secara terbuka tidak mematuhi arahan kerajaan yang mendakwa hak dan kebebasan mereka telah diabaikan,” katanya.

Mahathir pada Jumaat lalu menyamakan Muhyiddin sebagai diktator kerana menggunakan pengisytiharan darurat.

Dilaporkan juga hari ini Pejuang, parti yang diasaskan Mahathir mengutuskan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat.

Agong memperkenan Pengisytiharan Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 12 Januari lalu sebagai langkah membendung kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Darurat berkuatkuasa sehingga 1 Ogos atau tarikh yang lebih awal sekiranya angka Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Pengisytiharan darurat membolehkan Muhyiddin menggantung Parlimen dan menangguhkan Pilihan Raya Negeri Sarawak, iaitu tempoh DUN Sarawak akan berakhir secara automatik pada Jun tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here