PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kita peluang menghabiskan banyak masa berada di rumah bersama-sama keluarga tercinta.
Namun, masa yang terluang ini akan berlalu begitu sahaja jika tidak diuruskan dengan betul terutama kepada kanak-kanak dan remaja.
Tentulah pergerakan di rumah yang terhad ini telah membataskan pelbagai aktiviti yang menyebabkan anak-anak cepat merasa bosan.
Selain menonton televisyen, sudah tentu tumpuan anak-anak terarah kepada permainan gajet elektronik seperti telefon bimbit, tablet mini, komputer dan ‘playstation’.
Penggunaan gajet yang terlampau dan tiada pantauan dari ibu bapa boleh mendatangkan mudarat kepada anak-anak kita.
Seorang doktor mata, Dr Mohd Hafidz Ithnin menceritakan pengalamannya merawat mata seorang remaja lelaki yang juling gara-gara bermain gajet terlampau kerap pada musim PKP.
“Kes terkini yang saya uruskan pada akhir Disember 2020, di mana seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun adalah pemain tegar ‘E-sport’ sejak dia berusia 12 tahun.
“Dia menghabiskan masa selama empat hingga lima jam sehari mengadap ‘smartphone’ atau laptop untuk bermain ‘e-games’.
“Pada musim PKP dan cuti sekolah, dia bermain ‘games’ tersebut dengan menggunakan ‘smartphone’ atau laptop lebih lima jam sehari,” cerita doktor itu di Facebook miliknya.
Dr Mohd Hafidz yang juga Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kampus Kuantan berkata, ibu remaja lelaki itu telah mengesan sesuatu yang pelik berlaku pada mata anaknya dan segera membawa berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan.
“Sekitar akhir November dan awal Disember 2020, ibunya perasan mata anaknya juling dan mata itu dilihat menghala ke arah hidung.
“Pada masa sama, dia juga mengadu penglihatannya tidak berapa selesa lagi seperti dahulu. Bagi memastikan keadaan dia tidak melarat, ibunya mengambil keputusan membawa dia berjumpa dengan saya bagi mengatasi masalah tersebut,” ujar Dr Mohd Hafidz.
Menurut Dr Mohd Hafidz, setelah melakukan pemeriksaan, didapati mata remaja itu telah juling menghala ke hidung secara selang seli.
“Saya dapati masalah juling dia disebabkan oleh sistem penglihatan yang terjejas (sistem fokus dan alignment) akibat penggunaan gajet yang terlalu lama setiap hari.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan memberikan cermin mata khas sebagai terapi bagi memulihkan masalah juling secara berperingkat dan saya jangkakan masalah ini dapat diselesaikan selama enam hingga satu tahun.
“Dalam tempoh tersebut, remaja itu perlu hadir temujanji susulan untuk dua bulan sekali bagi memantau keadaan dia dan efektif rawatan yang telah diberikan,” katanya.
Dr Mohd Hafidz turut memberikan tips nasihat bagaimana cara penjagaan kesihatan mata yang betul untuk mengelak kejadian seperti itu berulang lagi.
“Nasihat saya kepada diri sendiri, anak-anak dan ibu bapa ialah kawal penggunaan gajet selama sejam sehari.
“Sekiranya perlukan gajet untuk tempoh yang lama, pastikan ada rehat dalam lima hingga 10 minit selepas penggunaannya selama sejam. Ulang semula langkah ini,” katanya.
“Penggunaan gajet tidak dapat dielakkan kerana ia adalah keperluan bagi memudahkan urusan kita terutama sewaktu pandemik Covid-19 dan PKP ini. – MalaysiaPost

