Guan Eng gesa kerajaan lanjutkan moratarium

0
3

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan lagi sehingga 31 Mac tahun depan.

Beliau berkata, perangkaan kadar pengangguran terkini pada Jun menjadi bukti mengapa ia perlu disambung.

“Meskipun kadar pengangguran Jun menurun ke 4.9 dari 5.3 peratus pada bulan sebelumnya, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak melanjutkan moratorium.

“Sebaliknya, penurunan itulah bukti kepada keberkesanan dan keperluan mendesak agar moratorium berkenaan dilanjutkan lagi sehingga 31 Mac 2021,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Menurutnya, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah pengangur dianggarkan seramai 773,200 orang, iaitu penurunan dari 826,100 orang pada bulan sebelum ini.

“Bagaimanapun, dari tahun ke tahun jumlah yang menganggur masih meningkat seramai 251,800 orang (berbanding pada Jun 2019),” katanya.

Jelasnya, mengikut perangkaan, kadar penyertaan buruh pada Jun mencatatkan penurunan dari angka 68.9 peratus pada Januari tahun ini ke 68.1 peratus, angka sama seperti dicatatkan pada tahun 2017.

“Sekiranya moratorium bayaran balik pinjaman tidak dilanjutkan dan dibiarkan berakhir pada September ini seperti rancangan asal, saya menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat semula, malah banyak perniagaan kecil dijangka gulung tikar,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak bank mampu menanggung enam bulan lagi moratorium setelah mendapat keuntungan selepas cukai sebanyak RM32 bilion pada 2019.

“Penangguhan bayaran balik pinjaman ini hanyalah “pengorbanan kecil” berbanding manfaat RM66.6 bilion yang akan dinikmati oleh rakyat sekiranya moratorium dilanjutkan,” katanya.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, jika pihak bank tidak rela untuk menanggung kos RM6.4 bilion, kerajaan persekutuan boleh sahaja menanggung kos RM6.4 bilion tersebut bagi membantu 7.7 juta peminjam individu dan 245,000 PKS.

“Dengan unjuran pertumbuhan KDNK yang lebih lemah di suku kedua tahun ini yang akan diumumkan, keadaan amat mendesak untuk meneruskan langkah-langkah ekonomi yang boleh melindungi rakyat biasa dan perniagaan Malaysia daripada dampak buruk Covid-19,” katanya.