Beri peluang Zahid jalan tugas – Annuar Musa

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi peluang untuk menjalankan tugas sehingga tempoh penggal berakhir tidak lama lagi.  

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun ada pandangan yang mahu Presiden Umno itu ‘berehat’, beliau patut diberi peluang.  

“Walaupun ada pandangan yang mahukan presiden ‘berehat’, saya merasakan patut beliau diberi peluang menamatkan tempohnya mengikut peraturan.  

“Apa pun tahun 2021 ini tahun pemilihan MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Biarlah proses biasa dalam parti berjalan dan sementara itu sama-sama berusahalah perbaiki keadaan parti,” katanya melalui ciapan di Twitternya hari ini.  

Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas mengenai pandangan dan gesaan beberapa pemimpin dan ketua sayap Umno yang mahu Ahmad Zahid mengundur diri sebagai Presiden Umno sejak beberapa hari lalu.  

Mengulas mengenai laporan media berhubung dakwaan terdapat beberapa tokoh besar dalam Umno cuba menarik anggota MKT menyokong Bersatu, beliau berpendapat tiada sebab untuk menyokong parti lain. 

“Yang perlu difikirkan ialah siapa pilihan paling strategik untuk bekerjasama bagi memastikan agenda membela rakyat terlaksana. 

“Umno terima hakikat perlunya kita bergabung tenaga, cuma dengan siapa?,” soalnya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here