Wanita mengaku tak bersalah bunuh kucing bunting, anak kucing

0
3
grafik

SEORANG broker wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan memukul seekor kucing betina dan anak kucing hingga mati Disember lalu. 

Hah Choy Kheng, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norhayati Mohamad Yunos, lapor Astro Awani. 

Mengikut pertuduhan, dia dengan kejam memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna oren dan seekor anak kucing betina berwarna putih – kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter sehingga menyebabkan kematian kedua-dua ekor kucing tersebut. 

Kesalahan dilakukan di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan di Blok B1, Pintas Kalui 1,Seberang Jaya, Pulau Pinang pada jam 1.20 tengah hari, 29 Disember lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722), jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali. 

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Pulau Pinang , Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsher Singh Thind. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes. 

Sebelum ini media melaporkan polis menahan seorang wanita selepas didakwa kucing bunting sehingga mati dan anak kucing hingga cedera. 

Difahamkan anak kucing tersebut mati selepas seminggu menerima rawatan. 

Wanita itu dipercayai bertindak demikian kerana berang kerana dua kucing tersebut membuang najis di hadapan rumahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here