“INSYAALLAH saya tetap bersama Umno.Kerana sayang pada Umnolah saya bersuara,” kata Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kesetiaannya terhadap parti tidak perlu dipertikaikan kerana beliau sudah menempuhi pelbagai perkara termasuk ‘ujian kesetiaan’.
“Saya lebih senior, lebih lama daripada sesetengah mereka… Dan ujian setia, saya sudah lalui semua. Usah pertikaikannya.
“Percubaan mereka bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP tetap saya tentang walau apa jadi pada saya. Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional milik kita semua. Kita yang cipta, kita yang jayakannya
“Setakat ini, Alhamdulillah yang penting percubaan mereka itu tidak berjaya. Tidak disokong oleh parti kita. Itu sudah cukup bagi saya. Saya syukur dan gembira. Membakar diri tidak mengapa, saya sudah biasa..sudah bersedia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Annuar berkata demikian sebagai maklum balas terhadap tulisan pengguna media sosial dikenali sebagai ‘Hang Nadim’ yang menyenaraikan enam sebab mengapa Annuar mengkhianati Umno.
Dalam tulisan itu ‘Hang Nadim’ menjelaskan, Annuar dijanjikan jawatan lebih tinggi termasuk Timbalan Perdana Menteri, projek dan kontrak yang bernilai tinggi, menjadi sekutu utama kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Selain itu, ‘Hang Nadim’ mendakwa sekiranya Annuar kekal dengan status quo, peluangnya mendaki jawatan tinggi makin tipis, diberi tugas meneutralkan parti itu daripada dalam dan diberi peranan menolak Datuk Seri Najib Razak daripada arus perdana Umno.
Mengulas mengenainya, Annuar berkata, beliau dapat mengagak siapaka individu bergelar ‘Hang Nadim’ berkenaan berdasarkan naratif penulisannya.
“Besarnya rekaan cerita mereka tetapi untuk fitnah rekaan mereka, nerakalah tempatnya.
“Mereka masih nak menutup rahsia mahu menyeret Umno untuk bersama Anwar dan DAP, nak menjatuhkan kerajaan yang kita bina bersama. Bila tak setuju dengan perancangan mereka, saya nak dijadikan kambing hitam dengan mereka-reka cerita yang tidak pernah ada,” katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, mereka boleh menyingkirkannnya tetapi Allah lebih berkuasa.
“Pecat saya tapi pemikiran saya dan pendirian saya Insya-Allah tidak terpecat buat selamanya. Biarlah ia kekal berbeza. Sama-sama kita menilai bila tiba masanya,” katanya. -Malaysiapost

