Pemilik ‘Kapten Corner’ setuju lanjut masa operasi kedai makan

0
2

Nurul Huda Abhar

KEPUTUSAN kerajaan menetapkan operasi jualan makanan sehingga jam 8 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, mengundang rugutan di kalangan peniaga dan orang ramai.

Ini kerana, bagi yang pulang bekerja lewat petang dan terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas kebanyakkannya tidak sempat untuk membungkus makanan.

Menurut pemilik Kapten Corner, Kapten Azrin Mohamad Zawawi, 44, beliau bersetuju sekiranya prosedur operasi standard (SOP) had masa bagi kedai makan semasa tempoh PKP dipertimbangkan sehingga jam 10 malam.

“Jam 8 terlalu awal. Perniagaan saya memang habis jam 8 malam tapi untuk perniaga-peniaga lain di sekitar saya ini memang mereka ada suarakan masa yang ditetapkan tak cukup.

“Sebab jam 8 orang ramai baru nak mula makan malam. Saya memang sokong kalau waktu operasi dilanjutkan sampai jam 10 macam PKP Bersyarat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Beliau yang juga bekas juruterbang yang diberhentikan kerja semasa PKP tahun lalu memberitahu jika had masa operasi kedai makan dilanjutkan kepada jam 10 malam ia membolehkan semua pelanggan mempunyai masa untuk membeli dan membungkus makanan.

Azrin berkata, walaupun PKP 2.0 baharu sahaja dilaksanakan pada 13 Januari lalu, namun penetapan SOP di tempat beliau berniaga memang mensyaratkan agar semua gerai ditutup pada jam 8 malam.

“Jika dilanjutkan sedikit hingga jam 10 malam mereka dah selesai mendapatkan makanan. Ini kerana ada yang balik kerja jam 7 malam. Mereka tidak sempat untuk membungkus makanan kerana tidak cukup masa.

“Sebab macam sekarang pun sekitar jam 7 atau 7.30 petang kami sudah mula kemas gerai. Oleh sebab jam 8 malam memang kami kena tutup gerai,” ujarnya yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai juruterbang.

Sementara itu, beliau juga memberitahu pihak berwajib perlu mengambil kira nasib peniaga yang mula beroperasi sekitar jam 4 petang.

“Bagi peniaga yang mula berniaga pada jam 4 petang memang mereka tak cukup masa. Oleh kerana setiap tempat berniaga sudah ada masa operasi masing-masing,” katanya lagi.

Gerai milik Azrin, Kapten Corner yang terletak di Boom Town Cafe, Subang Jaya tular di media sosial selepas salah seorang pemilik akaun Facebook memuat naik gambar beliau dengan seragam lengkap termasuk topi, lencana dan pangkat ‘empat bar’ di bahu.

Malah, kisah Azrin turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk singgah ke gerai miliknya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti jualan makanan di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja tepi jalan di negeri yang terbabit PKP, dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 8 malam.

Beliau berkata, kebenaran sama turut diberikan kepada penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan di tepi jalan, kios, kedai runcit serta kedai serbaneka.

Tambahnya, aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran, bermula jam 6 pagi hingga 8 malam. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here