Muhyiddin masih belum bukti kemampuan tadbir negara – Tun M

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat masih belum menunjukkan kemampuan untuk menangani masalah negara biarpun susulan pengisytiharan darurat dilaksanakan.

Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata proklamasi darurat yang diisytiharkan Muhyiddin memberikan kuasa yang besar kepada Perdana Menteri selain menghentikan politiking.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, dari satu aspek lain, pengisytiharan darurat itu merupakan satu langkah kediktatoran.

“Darurat digunakan untuk menghapuskan demokrasi untuk memberi Muhyiddin kuasa penuh tanpa pendapat orang lain. Beliau tidak melakukan banyak perkara untuk memerintah negara.

“Ekonomi negara memburuk. Masyarakat menderita daripada langkah yang diambil. PKP ini bermaksud ramai yang tidak mempunyai pendapatan dan makanan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Dr Mahathir dilapor berkata demikian dalam satu temu bual dalam rancangan radio Breakfast Grille BFM pada Jumaat lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, demokrasi dikorbankan demi memberikan Muhyiddin kuasa penuh untuk melakukan apa sahaja yang diingini.

“Kami bukan lagi negara yang berdemokratik. Kami mengorbankan demokrasi demi memberikan Muhyiddin kuasa penuh untuk melakukan apa-apa sahaja yang diingini.

“Sebagai contoh, parti saya tidak akan didaftarkan. Kami tidak boleh mempersoalkan kerana tiada cara untuk kami buat rayuan. Dari segi itu, Muhyiddin seorang diktator,” katanya.

Pada 7 Januari, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerusi satu surat yang dikeluarkan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) Terengganu, Badrolhisham Shafie,
menepis kenyataan Dr Mahathir dengan
mendakwa ketidakstabilan politik negara berlaku disebabkan kedegilan pemimpin politik.

Beliau berkata, rakyat juga faham bahawa “Pengistiharan Darurat” oleh kerajaan adalah kesan dari kedegilan pimpinan politik pembangkang yang tidak akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong agar menghentikan “politiking”.

“Ketidakstabilan politik negara yang dicetuskan pemimpin parti politik pembangkang dan sebahagian dari Barisan Nasional (BN) secara berterusan telah menghalang PM untuk memberi tumpuan penuh kepada penyelesaian Covid 19,” katanya.

Beliau berkata, rakyat umum melihat usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin bagi menangani pandemik Covid-19.

“Usaha Tun M dan rakan-rakan yang tidak menyokong Belanjawan 2021 dilihat oleh rakyat sebagai cubaan untuk menyekat usaha kerajaan mengatasi masalah
Covid-19 dan ekonomi negara.

“Adalah terlebih baik sekiranya semua pimpinan parti bersama menumpukan usaha menyelamat kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara. Ketepikan segala Ego, seolah tiada seorang pun terlebih baik dari ‘Diri kita’,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here