Hanya calon peperiksaan sekolah 20 Januari ini, murid lain ikuti kaedah PdPR

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya akan melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam.

Ia membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Berikutan itu, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021.

Menurut KPM menerusi kenyataan malam ini, keputusan itu dibuat susulan kes harian Covid-19 yang semakin meningkat seperti diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kenyataan itu menyebut, memandangkan ada pelajar sudah mendaftar masuk di asrama mulai hari ini, KPM telah membuat ketetapan berikut:

(i) Sekolah Berasrama Penuh Pelajar Tingkatan 4 dan 5 boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah; atau boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenar mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Pelajar Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:

• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.

(ii) Asrama Sekolah Harian
Pelajar Tingkatan 1, 4 dan 5 boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah; atau boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenar mengambil anak atau anak jagaan pulang bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Pelajar Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6 mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.

Menurut KPM, keperluan makan dan minum murid di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah.

“Bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari.

“Guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka.

“Guru yang lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan ditetapkan Ketua Jabatan,” kata kenyataan itu.

KPM turut mengatakan bagi pelajar Kolej Matrikulasi, mereka perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Sementara itu, katanya, semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.

“Pelajar yang masih belum mendaftar di asrama boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing. PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.

“Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Pada masa sama, KPM memaklumkan semua tadika swasta berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.

“KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here