E-Hailing : Penumpang berkurang sepanjang PKP dilaksanakan

0
2

AHLI Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan peka dan prihatin terhadap nasib pemandu E-Hailing yang terkesan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kes Covid-19 pertama negara dilaporkan berlaku pada 23 Januari 2020 sekaligus menyaksikan lebih 800,000 individu hilang pekerjaan pada Mei 2020.

Katanya, ketika negara berhadapan dengan masalah jumlah pengangguran yang semakin tinggi, syarikat E-Hailing membantu menyediakan peluang pekerjaan dan tindakan itu sangat wajar dipuji.

“Namun, saya menerima keluhan pemandu yang mendakwa ketika PKP 1.0 dilaksanakan 18 Mac 2020 dan PKP Bersyarat pada 14 Oktober 2020, jumlah penumpang amat berkurangan.

“Pemandu beritahu ada kalanya mereka bekerja 15 jam sehari bermula 7 pagi hingga 10 malam, namun meraih pendapatan kasar hanya RM70 sehari, belum ditolak potongan komisen, petrol dan makanan.

“Situasi ini berlaku akibat ketiadaan penumpang yang disebabkan pergerakan terbatas,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada 13 Januari lalu, PKP 2.0 sekali lagi dilaksanakan dan dilema sama dihadapi pemandu yang kekurangan pendapatan.

Kata beliau, perkara yang membimbangkan pemandu E-Hailing ialah soal potongan komisen tinggi sekitar 20 peratus biarpun jumlah penumpang berkurang ketika 3 fasa PKP sebelum ini.

Zahid menjelaskan, rata-rata pemandu E-Hailing berpendapat komisen 20 peratus boleh diterima sekiranya tiada halangan pergerakan yang memungkinkan mereka menerima pendapatan kasar antara RM200 hingga RM300.

“Tetapi akibat PKP, rata-rata pemandu terpaksa melopong di tepi jalan sementara menunggu kehadiran tempahan atas talian yang tidak kunjung tiba.

“Saya ambil contoh, jika pemandu meraih RM100 kasar sehari atau kurang (ketika PKP), komisen ditolak adalah RM20, petrol RM20, makan dan minum RM25, maka wang yang dibawa pulang ke rumah adalah RM35.

“Pemandu juga berhadapan kos bayar bulanan kereta, penyelenggaran minyak hitam, minyak ‘gear box’, bateri, tayar, ‘plug’, ‘break disc’, penapis udara, penapis minyak, pembaharuan lesen memandu, lesen PSV, insurans tahunan kenderaan, cukai jalan dan insurans e-hailing,” tambahnya.

Oleh itu, beliau menyeru kepada syarikat E-Hailing memahami dilema dihadapi pemandu ketika PKP dan dapat menurunkan diskaun 20 peratus yang cukup tinggi.

Zahid berkata, ketika PKP dilaksanakan, pemandu E-Hailing termasuk penghantar makanan terpaksa mengenepikan risiko dijangkiti Covid-19 demi mencari sesuap nasi buat anak-anak dan seluruh keluarga.

“Saya doakan semoga anda semua sentiasa diberi perlindungan dan kesihatan yang baik.

“Dalam masa sama, saya juga berterima kasih kepada syarikat e-hailing yang menyediakan peluang pekerjaan ketika ekonomi negara kian mencengkam.

Katanya, bagi PKP kali ini, tiada bantuan dan moratarium dilaksanakan sedangkan komitmen bulanan isi rumah berjalan seperti sediakala.

“Pelaksanaan PKP 2.0 sememangnyà memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak terkecuali kira-kira 100,000 pemandu E-Hailing di seluruh negara turut terjejas,” katanya lagi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here