PKP: Kedai cermin mata, dobi layan diri boleh beroperasi

0
2

KERAJAAN membenarkan kedai cermin mata dan dobi layan diri dalam kawasan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beroperasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata perkara itu dibuat selepas meneliti semula dan bersetuju bahawa terdapat keperluan bagi kedua-dua industri itu beroperasi.

“Ia selepas mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan dalam prosedur pengoperasian standard (SOP) PKP, yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga, mengingatkan kepada pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran supaya memastikan pematuhan SOP dilaksanakan sepenuhnya, di premis masing-masing.

“Kegagalan untuk memastikan SOP PKP dipatuhi boleh diambil tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pematuhan tersebut masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, KPDNHEP akan mengambil tindakan drastik termasuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP.

Nanta berkata, adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna, mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran, dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.

Katanya tindakan serta kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara, serta mengawal jangkitan Covid-19. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here