Cubaan lucut keistimewaan TH perlu dipandang serius

0
2

PEMUDA Umno menentang keras sebarang cubaan melucutkan keistimewaan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ke atas wang pendeposit.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata isu cadangan pindaan jaminan kerajaan terhadap TH harus dipandang serius.

Mustafa berkata, cubaan meminda Seksyen 24 Akta 535 pernah diusahakan oleh Bank Negara yang ketika itu dipimpin Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Katanya, pindaan itu dibuat dengan alasan untuk menyamaratakan peluang persaingan (level playing field) dengan bank-bank di Malaysia.

“Menyamaratakan hak-hak keistimewaan Tabung Haji dengan bank-bank dan institusi kewangan lain adalah suatu yang tidak wajar.

“Bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang yang didepositkan oleh pendeposit ke dalam TH adalah dijamin sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.

Ianya berkenaan perbincangan bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tentang model perniagaan baharu TH dan cadangan semakan semula ketetapan jaminan kerajaan termasuk kemungkinan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Antara yang dibincangkan adalah pelaksanaan model baharu operasi TH, semakan semula ketetapan jaminan Kerajaan dan pindaan Akta 535” kata Dr Zulkifli dalam laporan itu.

Sehubungan itu, Mustafa berkata, Pemuda Umno Bahagian Kuala Kangsar juga menentang keras sebarang cubaan melucutkan keistimewaan institusi unik umat Islam itu.

“Ia termasuk dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ke atas wang pendeposit TH -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here