Darurat: Risiko hilang kerja meningkat, rakyat makin tertekan – PH

0
2

Nurul Huda Abhar

RASIONAL permohonan darurat sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi kesan terutama dalam aspek ekonomi rakyat dan negara.

Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, tempoh darurat yang bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021 menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negara dengan baik.

“Sebaik sahaja diumumkan, pasaran saham dan matawang Malaysia jatuh merudum. Daripada persepktif matawang, dolar US kepada ringgit Malaysia mencapai paras tertinggi iaitu 4.072, 0.27 peratus lebih tinggi daripada penutupan hari sebelumnya sekitar 4.061.

“Bahkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia pula turun sekitar 15.98 mata atau 1.45 peratus berbanding hari sebelumnya. Sekirannya tiada pemulihan yang konsisten, ianya bakal memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan secara bersama itu membabitkan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin; Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Howard Lee dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir.

Menurut kenyataan itu lagi, kadar pengangguran yang kini mencatat sekitar 4.8 peratus juga dijangka terus meningkat dan dianggarkan sebahagian besar daripada angka itu terdiri daripada golongan belia.

Katanya lagi, sebelum pandemik Covid-19 bermula, pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus, datang daripada berpendidikan tinggi.

“Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus), sebagaimana yang dilaporkan Bank Negara pada 27 Jun 2020.

“Lebih menyedihkan, Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih banyak lagi yang belum menerima subsidi upah.

“Dalam hal ini, kerajaan wajib membentangkan pelan jangka pendek untuk menyalurkan dana, khususnya kepada golongan muda yang terkesan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, jika tidak diambil tindakan sewajarnya maka pengisytiharan darurat hanyalah helah untuk menyelamatkan kedudukan politik Muhyidin dan ianya perlu ditolak secara total. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here