‘Pakaian dalam mewah keperluan masa PKP ke?’ – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

‘PAKAIAN dalam mewah juga barangan keperluan masa PKP ke?’ sindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu mengeluarkan kenyataan berkenaan selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan membenarkan syarikat gergasi perabot Sweden, IKEA beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Najib berkata, ada segelintir pihak yang dilihat bersungguh-sungguh cuba mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan IKEA beroperasi ketika PKP dengan memberi pelbagai alasan.

“Semalam, saya tengok ada beberapa orang dalam ruang komen saya yang bersungguh-sungguh mempertahankan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membenarkan kedai perabot IKEA dan kedai emas dibuka semasa PKP yang sepatutnya (peraturan) lebih ketat.

“Macam-macam alasan diberi. Kedai perabot dibuka sebab mungkin ada keperluan ganti perabot yang musnah dalam banjir.

“Malah, kedai emas dibuka kerana ada setengah kedai emas yang juga beli emas dan ini perlu sebab mungkin ada mereka yang memerlukan ‘cash’ segera,” katanya.

Sehubungan itu, Najib secara sinis berkata, beliau tidak sabar untuk mengetahui apakah pula alasan kedai pakaian dalam mewah yang turut dibenarkan beroperasi ketika waktu PKP.

“Sebab itu, saya tak sabar nak baca apa alasan mereka mengapa kedai-kedai pakaian dalam mewah terkenal Victoria’s Secrets dibenarkan untuk beroperasi masa PKP.

“Pakaian dalam mewah juga barangan keperluan masa PKP ke?,” katanya.

Semalam, Najib mempersoalkan keputusan kerajan membenarkan perniagaan besar seperti IKEA dan rangkaian kedai emas Habib Jewels beroperasi semasa PKP, tetapi peniaga kecil tidak dibenarkan berbuat demikian.

Najib berkata, kerajaan perlu adil kepada semua pihak, serta mempersoalkan apakah gedung perabot itu termasuk dalam perkhidmatan perlu (essential service), ketika ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan berniaga.

“Sejak bila menjual emas dan barang kemas menjadi perkhidmatan keperluan semasa PKP.

“Semua gedung IKEA seluruh negara (juga) dibenar terus beroperasi dalam PKP ini? Malah kanak-kanak dan warga emas dibenarkan berkunjung walaupun tidak digalakkan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here