KETUA Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin, turut berpendapat bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berehat daripada memimpin parti tersebut.
Kenyataan tersebut menyusul selepas Ketua Pemuda Umno Pontian, Mohd Helmi Buang yang turut meminta Ahmad Zahid melakukan tindakan sama.
“Saya senada dengan Ketua Pemuda Umno Pontian malah perkara ini sudah lama disuarakan dalam mesyuarat Umno cawangan, bahagian dan Pemuda bahagian di Seremban.
“Saranan ini bukan kerana kami tidak hormat presiden Umno ataupun menidakkan keputusan pemilihan parti, tapi inilah suara pemuda, suara akar umbi.
“Kami tidak membenci presiden, cuma kami sayangkan Umno,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online, semalam.
Terdahulu, Mohd Helmi menerusi kenyataan berkata, Ahmad Zahid perlu berehat daripada memimpin Umno kerana menurutnya pendekatan pemimpin perlu ada perubahan yang ketara mengikut arus zaman.
Memetik laporan Malaysiakini, Mohd Helmi mempertahankan pendiriannya walaupun terpaksa berhadapan dengan tindakan.
“Saya reda, terpulang kepada pucuk pimpinan parti jika nak hukum saya.
“Saya pertahankan pendirian (supaya presiden berehat) saya dan tak akan berpatah balik,” ujarnya.
Bagaimanapun, saranan yang dikeluarkan Mohd Helmi tersebut disanggah oleh beberapa pemimpin sayap Umno.
Ini termasuk Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid.
Menurut Mustafa Shah, ahli Umno sepatutnya bersatu padu dan berdiri teguh di belakang presiden ketika Umno berdepan situasi sukar. -Malaysiapost

