Mangsa banjir, air pasang besar dapat RM500 – Hajiji

0
2

KERAJAAN Sabah menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan bantuan RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir dan fenomena air pasang besar di negeri itu, kata Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, agihan akan diselaraskan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pejabat daerah yang terbabit, selain wang tunai, bantuan makanan kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut diagihkan.

“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan NADMA menyalurkan bantuan makanan kepada semua mangsa yang dipindahkan ke PPS dan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap KIR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hajiji meminta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, di samping mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa khususnya ketika banjir dan fenomena air pasang besar sedang melanda di negeri itu.

Dalam pada itu katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah yang terlibat banjir dan fenomena air pasang besar menggerakkan seramai 635 anggota pelbagai agensi dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.

Enam daerah di Sabah membabitkan Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu, Paitan, Kudat dilanda banjir, manakala fenomena air pasang besar melanda Kudat dan Kota Kinabalu, baru-baru ini.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here