JDT lancar Pusat Perubatan dan Kecergasan pertama di Asia Tenggara

0
2

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah ke hadapan dalam memajukan prasarana pasukan berkenaan selepas melancarkan Pusat Perubatan dan Kecergasan di Pusat Latihan Seri Gelam, petang tadi.

Pelancaran secara maya menerusi siaran video oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memperkenalkan kemudahan dan kelengkapan di pusat berkenaan, yang pertama di Asia Tenggara.

Malah, pegawai perubatan dan pakar fisioterapi dilantik sepenuh masa.

Dengan wujudnya pusat perubatan berkenaan, ia membuktikan betapa kelab JDT sentiasa ingin meneruskan usaha untuk muncul peneraju utama di rantau Asia Tenggara terutama dari aspek infrastruktur, kejayaan dalam padang, inovasi, jenama dan pembangunan.

Walaupun dilengkapi dengan kemudahan fasiliti terbaik, penambahan infrastruktur terbaharu yang terdapat di JDT, ia sekali gus menyaksikan peralatan baharu dan kepakaran untuk memastikan setiap pemain skuad Harimau Selatan berada pada tahap optimum.

Tunku Ismail berkata, kemudahan dan fasiliti yang terbaik untuk pemain JDT adalah diutamakan kerana ia beri kesan dalam jangka masa panjang terutama proses pemulihan pemain dan penting agar pemain sentiasa berada di tahap permainan terbaik.

“Kami ingin menyediakan kemudahan dan fasiliti yang terbaik untuk pemain kami. Ini termasuk fasiliti serta peralatan rehabilitasi dan pemulihan agar setiap pemain dapat memberikan prestasi yang terbaik.

“JDT adalah sebuah kelab yang bercita-cita untuk sentiasa meletakkan penanda aras dan meningkatkan standard, bukan sahaja dalam negara, tetapi juga luar negara. Kemudahan fasiliti dan kejayaan kami akan terus membina profil JDT dan membawa manfaat untuk masa depan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pusat Perubatan dan Kecergasan itu bakal dilengkapi dengan ‘juice bar’ untuk minuman dan makanan sihat, dua mesin baharu ‘Infrared Sauna’, ‘Functional Trainers’, ‘Smith Machines’ dan peralatan perubatan seperti mesin ‘Echocardiogram’ dan alatan untuk terapi asid Hyaluronic dan ‘platelet-rich plasma’.

Hab ini juga turut mempunyai ‘indoor running surface’ yang diperbuat daripada ‘high-density polyethylene’ dan diperkukuh dengan getah untuk mengurangkan impak kepada sendi.

Peralatan ini adalah tambahan kepada mesin terapi oksigen dan hidrogen serta pelbagai lagi peralatan gimnasium dan perubatan yang sudah dibeli pada tahun sebelum ini.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here